Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk : Punca
Segala Bencana
Hadith :
Dari Abu
Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Kelak bumi akan memuntahkan
jantung hatinya berupa tiang-tiang emas dan perak. Maka datanglah seorang
pembunuh seraya berkata:”Kerana inilah aku jadi pembunuh. Kemudian datang pula
si perompak, lalu berkata:”Kerana inilah aku putuskan hubungan silaturrahim.
Kemudian datang pula si pencuri seraya berkata:”Kerana inilah tanganku
dipotong” Sesudah itu mereka tinggalkan sahaja harta kekayaan itu, tiada mereka
mengambilnya sedikitpun.”
Riwayat Muslim
Riwayat Muslim
Huraian
Lazimnya
manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar
harta dunia, manusia terpengaruhi oleh hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga
ada yang sanggup berbunuh-bunuhan, merompak dan memutuskan silaturrahim. Dunia
dicipta untuk menguji manusia siapakah yang paling bertakwa. Sesungguhnya harta
dunia tidak akan membawa membawa apa-apa erti jika ia tidak dimanfaatkan ke
jalan yang diredhai Allah. Hakikat harta diterangkan Rasulullah s.a.w seperti
sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia)
berkata, 'Hartaku, hartaku!' Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1)
Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa
yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang 3 itu, semuanya
akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Muslim)
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk
:Menjauhi Perbuatan Yang Mendatangkan Bahaya
Hadith
:
Rasulullah
s.a.w bersabda: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak
Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah
galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan
bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan
dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka
hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia
bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka
hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan."
Ibn
Mas'ud r.a
Huraian
i)
Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan
sebabnya.
Ii)
Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang
bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan
menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu
lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.
Iii)
Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu
sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan
Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran, surah an-Nas.
Iv)
Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati,
maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak;
jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.
Kategori :
AKIDAH TauhidIman
Tajuk :
Kelebihan
Sayidina umar Dalam Ilmu Agama!
Hadith :
Diriwayatkan
dari Ibnu Umar r.a:” Rasulullah SAW pernah bersabda:” Di dalam tidur ku, aku
melihat mangkuk penuh susu diberikan kepada ku dan aku meminumnya hingga
membasahi sebahagian jemari ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin
al-Khattab.” (Para sahabat nabi SAW bertanya:” Apakah tafsiran anda (terhadap
mimpi itu) ya Rasulullah SAW? Nabi SAW menjawab:” Itulah ilmu (agama).”
Huraian
Orang yang
paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu agamanya).
Dalam hal ini cuba kita renung sejenak tentang kisah Sayidina Umar Al Khattab
RA. Beliau adalah orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman
jahiliah. Demikian juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan
ditakuti termasuk syaitan sendiri. Apakah rahsianya Sayidina Umar boleh
mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar
mendalami ilmu agama. Sungguh banyak pengajaran yang dapat diambil daripada
kisah beliau. Di antaranya, kisah tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad,
kisah beliau tidak memotong tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau
memotong kedua-dua tangan pencuri kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah
beliau mengubah destinasi setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang
akan dituju, kisah tentang beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal
sebagai khalifah yang paling adil. Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang
lebih ditakuti oleh syaitan berbanding dengan orang yang banyak beribadah
tetapi jahil tentang seluk-belok agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW
bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu
orang 'Abid (orang yang banyak beribadat)”(at- Tirmidzi dan Ibnu Majaah)
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Permudahkan
Segala Urusan Islam
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda maksudnya:
“Permudahkanlah
semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah
membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.”
Riwayat
al-Bukhari dan Muslim
Huraian
1. Islam adalah agama yang mudah dan
senang diamalkan oleh setiap golongan, oleh itu hendaklah ia dipermudahkan dan
janganlah dijadikan sebagai sesuatu bebanan.
2. Umat Islam hendaklah sentiasa
menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan
perkara-perkara yang membawa kepada kesulitan hidup.
3. Islam menuntut agar umatnya berdakwah
ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan bijaksana supaya ia boleh diterima
dengan mudah dan rela.
Kategori :
IBADAH Akidah
Tajuk :
Kaya Harta
Dan Kaya Ilmu
Hadith :
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :”
Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini.
Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia
membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah
Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai
dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”
(al-Bukhari)
Huraian
Setiap
perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam
hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan
menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh
butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan
menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan
yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih
utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali:
“Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus
menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan
kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi
manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah
itu ke jalan yang diredhai-Nya.
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Empat Kunci
Kemurkaan
Hadith :
Rasulullah
s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Empat kalangan yang pada waktu pagi mereka
dimurkai Allah dan pada waktu petangnya juga dimurkai Allah. Abu Hurairah
bertanya: Siapa mereka wahai Rasulullah? Jawab baginda:” Orang lelaki yang
berlagak seperti wanita, kaum wanita yang berlagak seperti lelaki. Orang yang
bersetubuh dengan binatang dan orang yang melakukan hubungan sejenis.”
(At-Tabrani
dan al-Baihaqi)
Huraian
1. Allah S.W.T melaknat orang yang
melakukan perbuatan keji dan terkutuk seperti golongan bapuk (maknyah),
perempuan yang berperwatakan lelaki, mereka yang bersetubuh dengan binatang dan
orang yang melakukan homoseks dan lesbian.
2. Semua perbuatan ini jelas menunjukkan
penentangan terhadap hukum fitrah manusia yang seolah-olah menolak ketetapan
Allah S.W.T. Mereka membiarkan hawa nafsu menguasai diri hingga sanggup
melakukan perkara mungkar bahkan lebih jijik lagi sanggup bersetubuh dengan
binatang.
3. Sesungguhnya manusia adalah makhluk
yang amat dimuliakan oleh Allah S.W.T. Sewajarnya mereka bertindak selaku orang
yang berakal fikiran bukan seperti binatang yang bernafsu buas tanpa mengenal
buruk baik, halal dan haram.
4. Syaitan adalah musuh utama manusia.
Setiap perbuatan buruk yang dilakukan adalah petanda bahawa seseorang itu sudah
terpengaruh dengan godaan dan hasutannya.
Kategori :
IBADAH Solat
Tajuk :
Waktu Asar,
Isyak Dan Subuh
Hadith :
"Daripada
Abu Barzah al-Islami r.a. katanya, "Rasulullah s.a.w telah bersembahyang
Asar. Kemudian salah seorang daripada kami telah kembali ke tempat kediamannya
dipinggir bandar ketika matahari masih cerah. Baginda Rasulullah suka
mentakhirkan sembahyang isyak, dan baginda tidak suka tidur sebelumnya serta
bercakap-cakap selepasnya, Baginda selesai menunaikan sembahyang subuh ketika
seorang itu boleh mengenali orang yang duduk disebelahnya dan Baginda membaca
60 ayat sehingga 100 ayat al-Quran".
(al-Bukhari
dan Muslim)
Huraian
1. Seseorang
hendaklah menyegerakan sembahyang Asar diawal waktunya
2. Sunat
mentakhirkan sembahyang Isyak kepada 1/3 dari malam sekiranya tidak memberatkan
sembahyang secara berseorangan atau berjamaah.
3. Makruh
bagi seseorang tidur sebelum sembahyang isyak kerana takut terlupa atau
terlewat daripada waktu.
4. Seseorang
hendaklah segera menunaikan sembahyang subuh dan keluar dari masjid setelah
terang.
5. Setelah
selesai sembahyang subuh Rasulullah s.a.w membaca 60 ayat sehingga 100 ayat
al-Quran.
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Mensyukuri
Rezeki Menambahkan Berkat
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda, maksudnya:”Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan
makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat
orang mencukupi untuk lapan orang.”Riwayat Bukhari dan Muslim
Huraian
i) Setiap Muslim hendaklah mempunyai
sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut
perkara yang bukan keperluannya.
ii) Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak
yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang
diperolehi oleh orang lain.
iii) Kekayaan yang sejati adalah kekayaan
iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin
dari sifatnya yang qanaah.
iv) Salah satu cara untuk menanamkan sifat
qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan
"alhamdulillah" di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang
diterima.
v) Rezeki adalah ketentuan Allah S.W.T.
Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah
dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan
memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat
kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di
dalamnya yang wajib kita tunaikan.
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Roh Harum Dan
Ruh Busuk
Hadith :
Dari Abu
Hurairah r.a katanya:”Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua
orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit.” Kata Hammad :”Kerana
baunya harum seperti kasturi.” Kata penduduk langit “ Roh yang baik datang dari
bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan
kepada tubuh tempat engkau bersemayam.” Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya
Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:”Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan
biarkan di sana hingga hari kiamat.” Kata Abu Hurairah selanjutnya:” Apabila
roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya – kata Hammad, berbau busuk dan
mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,”Roh jahat datang dari bumi.”
Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari
kiamat.”(Muslim)
Huraian
Kematian
sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman
mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman.
Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini
diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang
maksudnya:"Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut
nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta
berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya
kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50). Rasulullah s.a.w sekalipun
dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun
baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana
kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini.
Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan
orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti
roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.
kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Bagaimana
Ilmu Agama Ditarik
Hadith :
Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW
bersabda: “ Allah tidak akan mengambil kembali ilmu (agama) dengan mengambilnya
dari (dalam hati) manusia, tetapi mengambilnya kembali dengan kematian para
ulama hingga tidak bersisa, lalu orang ramai akan mengambil orang-orang bodoh
sebagai pemimpinnya yang apabila orang-orang itu bertanya kepada mereka, mereka
akan memberikan jawapan-jawapan yang tidak didasarkan kepada ilmu. Maka mereka
akan berada dalam kesesatan dan menyesatkan orang lain.”
(al-Bukhari)
Huraian
Islam adalah
satu-satunya agama di dunia yang sangat mendorong umatnya untuk menuntut ilmu.
Istilah ulama pula digunakan pada orang yang sangat memahami permasalahan agama
dan mendalami ilmu agama. Di zaman ini, hampir tiada lagi ulama’ yang mempunyai
penguasaan ilmu yang pelbagai melainkan hanya yang pernah belajar beberapa
bidang ilmu tetapi hanya menguasai satu atau dua cabang ilmu sahaja. Berbeza
dengan zaman lampau, orang yang disebut sebagai ulama’ adalah mereka yang
menguasai dengan “ahli” banyak cabang-cabang ilmu. Dengan perkataan lain
golongan ulama’ semakin lama semakin pupus. Justeru dengan waktu yang semakin
singkat di akhir zaman ini ditambah dengan kesibukan dan kelalaian kita sendiri
dalam mengurus waktu marilah kita sama-sama mengkaji dan mengambil ilmu
daripada mereka kerana kehidupan ini tidak akan berjalan dengan tertib tanpa
bimbingan dari para ulama’. Tetapi kenyataannya, ramai orang pada hari ini yang
tidak memahami situasi tersebut sehingga mereka merasa mampu mengatur kehidupan
dunia tanpa merasa perlu melibatkan golongan ulama. Bahkan ulama dianggap
sebagai kelompok mereka yang tidak mengetahui situasi dan kondisi, tidak
memahami perkembangan zaman dan hanya berbicara dalam masalah ibadah dan
akhirat semata. Akibatnya timbul sikap menolak meremehkan golongan ulama dan
keterlibatan mereka dalam urusan pengaturan dunia. Justeru tidak hairan ada
golongan manusia yang menjadikan orang-orang yang jahil dan bodoh sebagai
pemimpin mereka hingga akhirnya membawa kepada kesesatan dan kemusnahan.
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Sayang
Menyayangi
Hadith :
Diriwayatkan
daripada Anas r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun
di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama
Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”
(al-Bukhari)
Huraian
Adakah kita
saling sayang menyayangi sesama kita? Adakah kita sentiasa mendoakan
kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin. Adakah kita
sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri? Adakah kita
tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri tidak mahu
hidup menderita? Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman itu dikaitkan
dengan sifat saling sayang menyayangi. Rasa bersama dan menyatakannya melalui
ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya
memberikan hadiah walaupun kecil dan sentiasa berterima kasih,
ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dan bertakziah atau bersimpati
apabila ditimpa malapetaka. Kita tidak perlu meraikan Valentine Day semata-mata
untuk menyatakan rasa kasih kita pada seseorang kerana Islam menggalakkan
umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya
menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan jika kita tidak
bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya
telah menjadi haram. Justeru budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih
baik. Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada golongan tertentu
sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa,
suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia.
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Kunci
Kemurahan Rezeki
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu
menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”
Riwayat
Bukhari & Muslim
Huraian
Pengajaran
Hadis:
i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi
dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu
untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan
(perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,
ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula
mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan
pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat)
kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)
ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan.
Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan
terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh
Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap
sesama manusia di muka bumi ini.
iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah
bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan
kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.
iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah
kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang
susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik
amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia
dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.
Kategori :
AKIDAH Usuluddin
Tajuk :
Cara Malaikat
Mengambil Nyawa Manusia
Hadith :
Rasulullah
s.a.w bersabda: "…..Dan apabila seseorang mukmin sampai masa matinya ia
digembirakan oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya: Bahawa ia akan
beroleh rahmat Allah dan keredhaan-Nya serta Syurga-Nya, maka pada ketika itu
tidaklah ada sesuatu yang dicintai oleh orang itu lebih daripada menerima apa
yang dihadapinya, lalu ia suka dan ingin mengadap Allah, dan Allah juga redha
menerimanya dengan sebaik-baik sambutan; dan apabila seseorang yang kafir atau
yang berdosa didatangi oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, ia
diberitahu bahawa ia akan beroleh azab seksa Allah dan kemurkaan-Nya, maka ketika
itu tidaklah ada sesuatu yang dibencinya lebih daripada yang dihadapinya;
dengan sebab itu maka ia merasa gerunan tidak suka mengadap Allah, dan Allah
juga tidak redha ia mendekati rahmat-Nya apalagi mengadap-Nya."
Dari
Sebilangan Sahabat r.a
Huraian
Rasulullah
s.a.w bersabda: "…..Dan apabila seseorang mukmin sampai masa matinya ia
digembirakan oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya: Bahawa ia akan
beroleh rahmat Allah dan keredhaan-Nya serta Syurga-Nya, maka pada ketika itu
tidaklah ada sesuatu yang dicintai oleh orang itu lebih daripada menerima apa
yang dihadapinya, lalu ia suka dan ingin mengadap Allah, dan Allah juga redha
menerimanya dengan sebaik-baik sambutan; dan apabila seseorang yang kafir atau
yang berdosa didatangi oleh Malaikat yang hendak mengambil nyawanya, ia
diberitahu bahawa ia akan beroleh azab seksa Allah dan kemurkaan-Nya, maka
ketika itu tidaklah ada sesuatu yang dibencinya lebih daripada yang
dihadapinya; dengan sebab itu maka ia merasa gerunan tidak suka mengadap Allah,
dan Allah juga tidak redha ia mendekati rahmat-Nya apalagi mengadap-Nya."
Kategori :
AKIDAH Usuluddin
Tajuk :
Imam Mahadi
Pembawa Rahmat
Hadith :
Rasulullah
s.a.w telah menyebut satu bala bencana akan menimpa umat ini sehingga seseorang
tak dapat tempat untuk berlindung daripada kezaliman; maka Allah Taala lahirkan
seorang dari keturunanku dan ahli rumahku, serta Tuhan penuhkan bumi dengan
kejujuran dan keadilan disebabkan pemerintahannya, sebagaimana bumi sebelum itu
penuh dengan kezaliman dan kecurangan; penduduk langit dan bumi puas hati
dengan pemerintahannya; langit pula tidak meninggalkan sedikit pun dari
hujannya melainkan dicurahkannya dengan lebat, dan bumi juga tidak meninggalkan
dari tumbuh-tumbuhannya melainkan dikeluarkan dengan sebanyak-banyaknya,
sehingga orang yang hidup suka kalau orang-orang matinya hidup semula (supaya
mereka dapat menikmati kemakmuran itu bersama); Mahadi itu akan hidup dalam
keadaan yang tersebut selama tujuh atau lapan, atau pun sembilan tahun."
Abu Sa'id
Al-Khudri r.a
Huraian
Rasulullah
s.a.w telah menyebut satu bala bencana akan menimpa umat ini sehingga seseorang
tak dapat tempat untuk berlindung daripada kezaliman; maka Allah Taala lahirkan
seorang dari keturunanku dan ahli rumahku, serta Tuhan penuhkan bumi dengan
kejujuran dan keadilan disebabkan pemerintahannya, sebagaimana bumi sebelum itu
penuh dengan kezaliman dan kecurangan; penduduk langit dan bumi puas hati
dengan pemerintahannya; langit pula tidak meninggalkan sedikit pun dari
hujannya melainkan dicurahkannya dengan lebat, dan bumi juga tidak meninggalkan
dari tumbuh-tumbuhannya melainkan dikeluarkan dengan sebanyak-banyaknya,
sehingga orang yang hidup suka kalau orang-orang matinya hidup semula (supaya
mereka dapat menikmati kemakmuran itu bersama); Mahadi itu akan hidup dalam
keadaan yang tersebut selama tujuh atau lapan, atau pun sembilan tahun."
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Larangan
berkhalwat
Hadith :
Rasulullah
s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan
(berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga.”
(at-Tirmidzi)
Huraian
1. Wanita adalah dilarang berkhalwat
dengan lelaki yang bukan muhrimnya di mana berkhalwat tidak semestinya berlaku
di dalam rumah sahaja tetapi ia juga boleh berlaku di tempat-tempat yang sunyi
tanpa dihadiri atau dilihat oleh orang ramai seperti di taman, tasik, pejabat
dan sebagainya.
2. Khalwat yang diharuskan oleh Islam
adalah khalwat dalam ertikata ‘mengasingkan diri daripada orang ramai untuk
tujuan beribadah kepada Allah S.W.T’ sepertimana yang berlaku pada Rasulullah
s.a.w. yang berkhalwat di Gua Hira’. Baginda menjauhkan diri daripada
masyarakat jahiliyah untuk melakukan ibadah kepada Allah.
3. Syaitan merupakan makhluk yang bijak.
Selagi ada kesempatan yang terluang, ia akan menggoda manusia untuk melakukan
perbuatan yang terkutuk. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada. Jangan
sekali-kali menghampiri pintu yang menghumban ke neraka seperti melakukan
khalwat yang akhirnya menjebakkan diri kepada zina dan sebagainya.
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Dunia Hanya
Sementara
Hadith :
Dari Ibnu
Ibnu Umar r.a katanya: rasulullah S.A.W memegang bahuku lalu ia bersabda:”
Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau
orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)”. Dan adalah Ibnu Umar r.a
berkata:”Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu
pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu
petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup
engkau bagi masa mati engkau.
(al-Bukhari)
Huraian
1. Dunia adalah tempat untuk manusia
beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim,
bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini
adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman
tempat asalnya iaitulah alam akhirat yang kekal abadi.
2. Untuk itu, tiap-tiap amal ada waktunya
di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal belum tentu waktu itu akan berulang
kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu
itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka
berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu
kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.
3. Oleh itu seseorang yang inginkan
kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang
dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan
sebagainya.
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Jangan
Meratapi Jenazah
Hadith :
Dari Abdullah
r.a katanya, Nabi SAW bersabda: ”Tidak termasuk golongan kami orang yang
menampar–nampar pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti
teriakan jahiliyyah (kerana meratapi mayat) .”
(al-Bukhari)
Huraian
1. Allah SWT yang menciptakan ketawa dan
tangis serta menciptakan sebab tercetusnya hal tersebut.
2. Ada tangisan yang sangat dicela
umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek
pakaian. Ada pula tangisan yang sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan
kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau menangis kerana takut akan azab dan
siksa Allah SWT.
3. Sabar itu adalah pada awal kejadian.
Oleh itu seseorang yang kehilangan orang yang disayanginya disebabkan meninggal
dunia hendaklah bersabar dan tabah kerana sesungguhnya mayat akan tersiksa
kerana ratapan (penyesalan) dari ahli keluarganya. Sedangkan kematian itu
merupakan suatu perkara yang pasti dan tidak dapat dielakkan oleh setiap
manusia.
4. Setiap Muslim harus menyedari bahawa
segala yang berlaku adalah merupakan takdir dan ketentuan daripada Allah SWT.
Oleh itu semestinya kita menjauhi dan meninggalkan segala perkara yang tidak
sesuai dengan nilai-nilai Islam seperti meratapi orang yang telah meninggal
dunia kerana amalan ini adalah seperti amalan yang dilakukan oleh masyarakat
bukan Islam di zaman jahiliyyah.
Kategori :
AKIDAH Akhlak
Tajuk :
Dengki
Hadith :
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak berkumpul di dalam hati seorang
manusia antara iman dan dengki"
Riwayat Ibnu
Hibban dan Al-Baihaqi
Huraian
1. Hasad
dengki itu adalah seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan
oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.
2. Adanya
perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna malah dengki
merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan
menggoda Adam a.s hingga terkeluar daripada syurga dan kerana dengki juga maka
terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.
3. Seorang
pujangga Arab pernah berkata: "Orang hasad tidak akan senang hidupnya dan
orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang
selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima
pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.
4. Dengki
yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia
berebut-rebut melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba
melakukan ibadat dan yang seumpamanya.
Kategori :
IBADAH Akidah
Tajuk :
Syaitan Lari
!
Hadith :
Dari Abu
Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda:”Apabila dikumandangkan azan untuk
solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan.
Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan,
dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali. Dia
sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya:”Ingatlah
apa yang belum kamu ingat!” Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa
rakaat dia telah solat.”
(al-Bukhari)
Huraian
Syaitan
berada di mana-mana. Oleh kerana itu pohonlah perlindungan dengan berzikir atau
membaca ayat-ayat al-Qur’an. Dalam menghadapi keadaan-keadaan yang
membahayakan, mencemaskan atau menakutkan, malah dalam keadaan biasa sekalipun
pun, eloklah kita mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh Rasulullah
s.a.w, Contohnya, dalam waktu kecemasan seperti kebakaran, azan dan takbir amat
sesuai dilaungkan di samping ayat-ayat atau zikir-zikir pendek. Selain itu
untuk berlindung daripada syaitan juga kita dikehendaki melaungkan azan dan
iqamah ke telinga bayi yang baru lahir. Sesungguhnya syaitan itu tidak lain melainkan
sentiasa ingin menggoda manusia dengan apa cara sekalipun hatta di dalam solat
supaya manusia lalai daripada mengingati Allah dan melakukan perkara-perkara
yang mendatangkan kebinasaan pada dirinya. Sebab itulah Rasulullah menyuruh
kita mengamalkan berbagai bacaan doa sama ada ketika makan, ingin memasuki
tandas, keluar tandas, memasuki rumah memakai pakaian, tidur, membawa kenderaan
dan sebagainya. Maka apabila manusia terlindung dengan doa yang dibacanya itu
akan terlepaslah peluang syaitan untuk merosakkan manusia.